Setiap orang ada kenangan masing-masing. Ada peristiwa dan cerita yang tersendiri telah tersemat di hati. Apa yang kita lalui merupakan pengalaman dan ia tidak dapat diubah melainkan persediaan masa hadapan. Semua itu menjadi sejarah silam dan sesetengah daripada kita tidak mampu melupakannya apatah lagi untuk menghapuskannya.

Kadangkala kita ingin balik semula ke masa lalu dan memperbetulkan segala kesilapan dan keterlanjuran yang pernah dilakukan. Andai kita tahu hari ini tidak mudah, sudah tentu semalam kita ingin membuat persiapannya. Namun, aturan waktu tidak pernah pulang melainkan dari kehendak Tuhan.

Oleh itu, sebenci mana pun orang pada kita, sayang bagaimana pun, itu semua adalah warna-warna kehidupan yang dilalui oleh setiap orang. Tidak hanya kita bahkan semua sekali. Maka, apa yang kita rasa, kita dengar, kita berbicara, itu semua diri kita dan segala-galanya tercatit yakni terzahir dari amalan. Tidak akan terlepas walau sebesar zarah pun catatan amalan kita sama ada baik atau pun buruk. Orang suka atau pun tidak, kehidupan mesti diteruskan.

Begitulah kenangan, kita ingin kembali. Terkadang tersenyum sendiri membayangkan betapa indahnya waktu kecil. Betapa perit dan getir tercampak sunyi sehinggakan kita mahu disentuh kerana sengsaranya kita mengenangkan sesuatu kedukaan. Biarlah terkubur semua penderitaan agar bahagia setia bertandang. Dan hari ini, diri ini membesar, fikiran mula berkembang memikirkan itu dan ini. Tidak seperti dulu, kita hanya tahu meminta dan jikalau permintaan tidak tertunai, kekecewaan mula meratap.


Melihat sekeping foto itu, di manakah mereka? Itulah rakan-rakan kita. Mereka teman kita ketika itu. Mereka juga tempat kita bermain bersama-sama. Adakalanya kita berkelahi, adakalanya kita bersatu hati dalam sesuatu perkara. Kita tak pernah tahu apa yang bakal berlaku pada masa hadapan kalau hari ini kita terlalu impikan kesempurnaan. Hidup tidak memerlukan kesempurnaan tetapi hidup memerlukan pengabdian. Abadikan diri pada Sang Pencipta itulah keutamaannya.

Barangkali kita terlalu mengejar cita-cita sampai lupa hubungan kita. Barangkali juga kita mengintai dunia sampai kita lupa orang di sekeliling kita yang dulu pernah senyum dan ketawa bersama. Hari ini tanggungjawab kita berbeza. Kita menggalas amanah yang diberikan. Mungkin ada di antara kita sudah berumahtangga dan hidup berbahagia, ada juga yang hidupnya melarat dan merana. Itu semua bukan bezanya tetapi yang berbeza adalah sejauh mana kita ingat pada-Nya.

Buat rakan-rakan yang dirindui, kita hidupkan mimpi dalam realiti, mana tahu suatu hari nanti kita akan bertemu kembali untuk bercerita tentang kisah hati.... paling tidak, ada sebahagian, kalau tidak pun ada juga seorang buat pengubat rindu.


2 Comments

  1. ish ble tgk pic skolah dulu..aduhai rindunye.haha..rindu suasana dulu..suasana kg...ad pokok pagar...lebih hijau drp skrg huhu..rumah pn masing2 dh berubah.

    ReplyDelete
  2. alamak aiii, terkenang semasa dulu, sekolah rendah, tahun 1984-1988. Masa kecil dulu, seronok....

    ReplyDelete

Post a Comment

Previous Post Next Post