BAB 1

BUNYI derap kaki sayup-sayup kedengaran semakin lama ia menghilang dari lantai kayu itu. Angin malam menerobos tingkap yang terbuka. Langsirnya pula sedikit berkibar ditiup angin sepoi-sepoi bahasa. Terang bulan separa itu menampakkan kabus malam datang melanggar dinding-dinding usang. Di sudut rumah tinggalan itu tersandar satu jasad tanpa kepala. Di sisi jasad yang tewas itu terdapat sebuah laptop yang masih berfungsi bersama darah yang terpercik meninggalkan kesan padanya.

Malam dingin terus berkuasa sehingga menjemput awan memasung bulan. Suasana gelap menguasai alam, sang unggas dan sang cengkerik seolah-olah gerun dipukul ngeri yang berlaku. Sunyi ketika itu tiada siapa yang tahu. Tiada saksi mata yang melihat bahkan tidak diketahui motifnya.

Sehinggalah tiba esok hari, tanah di situ sudah ditimpa hujan setelah malam embun sarat menitis memanggil hujan lebat dingin. Lalu, terbiar jasad malang itu di situ selama tiga hari. Di rumah yang jauh dari penduduk mula membusuk. Baunya menusuk rongga membuatkan seorang lelaki pengembala kambing termuntah. Si pengembala itu kebetulan tergerak hati untuk melihatnya. Dia sedang mencari kambingnya yang hilang tidak tahu berada di mana. Langkah perlahan-lahan dan otaknya berfikir bau apakah itu busuk sungguh. Teramat busuk. Sekali lagi dia ingin muntah.

Dicelah-celah dinding dia mengintai sambil menekup hidungnya. Bernafas melalui mulut pun masih tak tahan. Tembus juga baunya tapi tak sekuat hidung. Dia nak tahu jugak bau apakah itu. Dalam kepala otaknya mungkin bangkai tak terfikir pula itu mayat orang. Kesabarannya terbatas walaupun dihimpit dengan perasaan takut dan bimbang kalau-kalau sesuatu yang buruk berlaku.

Bila dia sampai ke arah tangga, kaki kanannya mengambil tempat melangkah selangkah demi langkah sehingga ke muka pintu yang tak berkunci. Ditolak perlahan-lahan maka keriuk engsel berkarat kedengaran maka tembuslah cahaya ke dalam rumah usang itu. Bola matanya memulat besar bila dia nampak sesusuk tubuh itu. Meremang bulu romanya.

“Wekkk!!!” Dia berundur dan beredar pergi bertemu dengan orang yang rapat dengannya. Dia ingin memberitahu tentang apa yang baru dia lihat itu.



***



BEKAS berisi bubur asyura dihempasnya ke atas meja. Merah padam muka Emilia Idayu sambil tangan terus bersilang ke dada seraya punggungnya juga dihempas ke kerusi. Ruang dapur itu jadi hangat semacam sahaja. Bagai ada hal yang dipendamkannya. Hasmah sedang cuci pinggan mangkuk tersentak dengan tingkah Emilia Idayu itu.

“Apa yang tak kena ni pagi-pagi dah mengamuk?” Hasmah bertanya selepas memulas tombol paip itu. Air pun terhenti mengalir. Kakinya melangkah mendekati Emilia Idayu yang bermuncung mulut.

Pertanyaan Hasmah tidak dijawab malah Emilia Idayu mengecilkan bola matanya sambil merengus geram. Memang perit rasanya.

“Sebab Zarul Hakimi?” Hasmah meneka terus bertambah merah wajah Emilia Idayu. “Jadi ini daripada dia ya?” Hasmah senyum senget sambil pegang bekas itu. Gadis genit bermata bundar dan berlesung pipit itu pun mengeluh berat seolah-olah sedang memikul beban berpuluh tan.

Kalau sibuk memikirkan perihal Zarul Hakimi, terlewatlah Emilia Idayu nak pergi mengajar budak-budak tadika.

“Dia tu pagi-pagi dah buat Emi panas tau!” Emilia Idayu melarikan wajahnya memandang ke arah jendela tapi jantungnya seolah-olah ditekan kencang sebaik sahaja terlihat kelibat berkelubung hitam berada di luar tingkap itu.

Tercengang Emilia Idayu melihat kelibat yang kurang jelas. Gara-gara terkejut membuatkan Hasmah juga menoleh di tempat yang sama tapi tak nampak apa-apa.

“Ada apa Emi?” Hasmah memandang anak majikannya silih berganti. Entah apa yang Emilia Idayu nampak macam kena sampuk di siang hari. Mata membulat besar, mulut tercengang seolah-olah ada kuasa mengunci lidahnya dari berkata-kata. Dia lihat sekali lagi tadi memang dah tak ada. Kelibat itu menghilang tiba-tiba.

Siang-siang hari dan kena kacau. Tapi dia sendiri tak tahu sama ada itu hanya khayalan atau pun betul-betul. Dia gosok matanya laju-laju dengan siku jari berkali-kali. Hasmah pula naik hairan dengan sikap Emilia Idayu sejak akhir-akhir ini.



***



SYED Waqil dah bingung menatap keresahan Nasri Adam yang nampak kacau selepas kambingnya tidak ditemui. Bukan setakat itu sahaja, semalam juga dia terjumpa mayat yang dia sendiri tak tahu punca. Pihak polis sedang jalankan siasatan. Penemuan mayat tanpa kepala di hujung Kampung Sura Tepi menjadi topik bualan hangat orang-orang kampung.

“Kau ni ke mundar-mandir, tak penat ke? Naik pening aku tengok kau la,” Syed Waqil menggeleng sambil tangannya masih pegang gergaji. Dia sedang siapkan gerai burger tempahan. Nasri Adam ni pula dari tadi tak duduk diam.

“Kau senanglah cakap, kambing aku hilang. Macam mana aku nak cakap dengan bapak aku?” Itu yang Nasri Adam risaukan. Ayahnya memang garang gila, tambahlah membabitkan harta. Jangan dibuat main. Haji Suki belum tahu lagi tu.

“Nas, kau rasa mayat semalam tu mayat siapa eh?”

“Manalah aku tahu. Rumah tu mana ada orang duduk, tiba-tiba aje berlaku perkara ni. Meremang bulu roma aku.” Nasri Adam duduk di bangku. Baru rasa nak lenguh agaknya.

1 Comments

Post a Comment

Previous Post Next Post