Saat ini fikiran saya rasa sangat kosong tambah pula pemergiaan ayah tersangat baru. Entah kenapa jari jemari ini kaku untuk menaip bait demi bait. Sungguhpun begitu, saya gagahkan juga untuk tampil meluahkan rasa hati yang walang. Pada tanggal 8 Disember 2016 dalam ICU Hospital Besar Kuala Terengganu, ayah tercinta pergi menemui ILAHI kira-kira jam 8:20 AM hari Khamis. Waktunya telah tiba cuma kita pula bagaimana?

Ketika mata itu terpejam, pelbagai perkara bermain di dalam fikiran, apakah kesudahan selepas ini? Ternyata yang pergi tetap akan pergi, walaupun kering air mata itu tidak perlu lagi saya tangisi kerana saya adalah anaknya. Sayalah hartanya, saya yang perlu mendoakannya. Maka di situ kesedaran timbul, ayah tetap ayah.

Kini ibu menjadi balu. Tatkala itu, saya melihat ketabahan ibu ketika memangku jasad ayah yang semakin lama semakin lemah sehinggalah ke hujung nafasnya, ibu tetap redha. Ayah dipanggil jua tanpa ada kuasa lain yang dapat menghalang. Itu adalah ketentuan-Nya.

Demi waktu yang tersisa ini, saki baki hidup kena diteruskan. Oleh itu saya kuatkan semangat dan meyakini bahawa setiap manusia akan merasai mati. Setiap denyut nadi pasti akan terhenti. Walau bagaimanapun, hanya amalan yang akan menentukan di mana tempat kita nanti.

Sungguh, terasa baru semalam ayah sedang tersenyum. Sungguh terasa indah saat akhir-akhir itu. Betapa kasih ayah pada anak, bertanya khabar dan sering mengukir bahagia. Biarpun waktu itu saya masih kecil, dan ketika itu juga saya belum mengerti apa-apa. Saya bergelar anak. Hari ini saya pun menjadi seorang ayah, dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Aiman Firdaus namanya. Saya juga bersyukur ke hadrat ILAHI, ayah sempat tatap wajah anak saya. Sempat juga cubit pipi anak saya yang baru berusia 5 bulan.


Anak-anakmu rindu padamu ayah, hanya titipan doa dapatku kirimkan buatmu ayah... Insya-Allah damailah ayah di sana. Kami semua akan mengikutimu bila tiba masanya nanti.

Kata-kata terakhir buatku "Ayah sayang semua anak-anak ayah." Sejuk rasa hati ini. Ayah sayangkan kami semua. Walau kasih dan sayang ayah terhadap kami tapi ALLAH lebih kasih pada AYAH... Al-FATIHAH buat Ayah. 1954-2016

Post a Comment

Previous Post Next Post