Pada tahun 2004, aku tinggal di Kampung Padang Balang, KL dan bekerja di kilang kat Sri Gombak untuk punch card sahaja kemudian akan buat kerja luar di tapak pembinaan memasang tingkap aluminium.
Setiap pagi selepas Subuh aku akan berjalan kaki melalui Taman Pelangi menuju ke perhentian bas. Waktu itu rakyat jelata akan mula sibuk dengan rutin menyiapkan diri. Dan aku seperti biasa mengharapkan hari sentiasa baik.
Masa nak masuk kawasan taman, aku akan lalui satu pohon besar dan bawah pohonnya ada tempat duduk kayu. Aku nampak ada seorang perempuan, pakaian orang gaul, biasalah anak gadis kota. Aku nampak dia seperti sedang mabuk sahaja.
Dia tegur aku, "Nak pergi mana tu...?" Dan sambil senyum aku pun menjawab, "Nak pergi kerja." Suasana ketika itu masih suram, maklumlah lepas Subuh, tanah pun cuma diterangi balam-balam lampu jalan.
Usai aku melepasinya, tiba-tiba beg galas aku terasa berat macam ada batu dekat dalam. Aku pun tanggalkan dan membuka zip untuk melihatnya. Tapi tak ada apa-apa pun. Perasaan aku sahaja kut. Selepas itu aku toleh dekat tempat gadis tadi, dia lambai-lambai tangan sambil teguk sesuatu.
Aku galas semula beg, dah ringan balik. Ah memang sah, perasaan aku sahaja. Dan dengan selamba dan tanpa pedulikan gadis itu aku pun meneruskan langkah. Hampir nak sampai sahaja dekat perhentian bas, aku nampak seorang gadis lagi. Aku perhati betul-betul macam serupa dengan gadis tadi. Dia lambai-lambai dan bertanya, "Nak pergi mana tu...?"
Ah sudah! Berderau darah aku ketika tu. Hampir pengsan. Mujurlah aku kuatkan semangat. Laju aku gosok-gosok mata. Aku buka semula kelopak mata, aku lihat gadis tu ada lagi. Aku gosok lagi kali kedua, barulah dah tak ada di situ. Ketar lutut aku ni. Seluruh tubuh jadi kaku. Rasa serik pun ada.

Ditulis oleh : Rashid Salim

Post a Comment

Previous Post Next Post