Bab 5
KEADAAN di dalam rumah agak suram namun semua
barang-barang dan perabot tersusun. Tiada satu pun yang berselerak. Cuma agak
berhabuk sedikit dan terasa lemas kerana tingkap tidak dibuka. Aku pun pergi
membuka tingkap dan barulah cahaya menerobos masuk ke dalam rumah. Bukan ke
lebih seronok kalau keluarga aku tinggal di rumah Nek Mah ini, aku tengok elok
semuanya.
Aku perhati Madi ralit menilik keadaan. Dia
masuk ke kamar melihat-lihat. Aku pulak meninjau sekeliling isi rumah. Hurm…
boleh tahan rumah kampung. Sejuk. Aku seolah-olah lupa apa yang berlaku di
halaman tadi. Apa yang aku fikirkan adalah bagaimana nak ajak keluarga aku
tinggal di rumah ini.
Bunyi derap kaki kami jelas di atas lantai
papan. Di dinding pula tergantung jam dinding yang sudah tidak aktif. Ayat-ayat suci Al-Quran tergantung cantik. Ketika
asyik menilik-tilik, aku jadi terlupa apa yang sedang Madi lakukan sekarang. Lagut
aku meninjau sendiri sehingga langkahku diheret sampai ke muka pintu dapur. Ada
tangga kayu untuk turun ke ruang dapur. Rumah ini diperbuat daripada jenis kayu
yang baik kerana tiada pun kesan dimamah anai-anai.
Rumah yang mempunyai empat bilik itu aku
lihat begitu selesa untuk diami, tetapi kenapa ditinggalkan begitu sahaja tidak
berpenghuni? Kenapa tak disewakan ke atau apa? Aku memikirkannya lagi. Aku
berundur mencari Madi, aku pun menjengul kepala ke satu sudut bilik. Aku nampak
Madi pegang sesuatu. Aku tanya Madi pegang apa, dia tunjuk kepadaku.
Eh? Dia ambil dari dalam laci katanya. Kotak
diselimut dengan kain kuning. Kotak kayu tersebut tak adalah besar mana, lebih
kurang kotak kaca mata cuma terdapat ukiran pada luarannya. Di dalamnya pula terselit
sebentuk cincin. Madi keluarkan cincin itu dari tempatnya dan dihadapkan depan
muka aku. Aku pun mengambilnya, cantik cincin bermata hitam tu. Aku
tengok-tengok, cincin ni seperti diperbuat daripada tembaga. Permatanya pulak
aku tak pasti tapi yang jelas adalah warna hitam.
Madi memuncung mulut mulutnya sambil angkat
bahu. Dia mintak balik apa yang dia bagi pada aku. Aku masih nak tengok.
Tiba-tiba dia merengus geram. “Sini!” Kenapa Madi macam nak naik angin je bila
aku tengok lama-lama? Cepat-cepat aku kasi pada dia.
Selepas dia ambil je cincin tu, terus dia
kucup. Selepas tu dia meletakkan semula cincin tu dalam bekas tadi. “Ini Madi
punya.” Katanya. Cepat mengaku kepunyaannya.
“Jangan ambil barang orang.” Kataku.
“Tapi Madi yang jumpa dulu cincin ni.” Dia
sorok kotak tu ke belakang tubuhnya. Cara dan lagaknya berlainan benar. Keadaan
itu menimbulkan rasa kurang senang aku terhadapnya.
“Masalahnya, itu bukan barang kita.” Ujarku
meminta agar Madi memahaminya. Barang yang tidak diketahui milik siapa harus
diletakkan semula ke tempatnya, tetapi aku rasa ada sesuatu yang tak kena.
“Siapa kata?” Balasnya mencerlung biji mata.
Aku agak tak puas hati dengan tingkah laku
Madi kali ini. Memang lain macam sahaja. Aku kata jangan ambil, simpan semula
di tempatnya. Kalau diusik, bimbang nanti ada yang marah. Madi ni pun satu hal,
cubalah fikir panjang sikit. Asyik nak melawan cakap sahaja. Aku dah kata letak
balik, dia ingkar.
“Abang kata letak balik.” Suruh aku sekali
lagi. Dia berkerut dahi.
Aku berdua bertengkar. Aku suruh dia letak,
dia pulak enggan. Maka aku tak ada pilihan, terpaksa rebut dari tangan dia.
Ketika perebutan itu berlaku, kotak yang dipegang Madi terlepas dari tangan,
jatuh ke papan lantai. Kotak itu terbuka dan cincin tu pula tercabut dari
selitan tercampak masuk bawah katil.
“Kau ni kan Madi, kalau hilang macam mana?”
Aku terpaksa menunduk untuk menjenguk cincin itu. Tiba-tiba, aku rasa tak sedap
hati, macam dengar-dengar sahaja nama aku diseru. Ismael…
Madi pulak berjongket bahu buat muka tak
bersalah. Aku juga yang susah payah meraba-raba cari cincin bawah katil tu.
Huh! Nasib baik jumpa. Aku ambil dan berdiri tegak semula. Aku letak cincin
dalam kotak kemudian balut semula dengan kain kuning yang aku sendiri pun tak
tahu apa maksudnya benda-benda tu semua.
“Dah la bang, boring la main-main dalam rumah
ni…” Madi mengeluh. Aku rasa dia dah bosan sebab baginya tiada apa-apa yang
menarik.
“Ala, lepak la Madi…” Kataku sambil
memasukkan kotak tersebut ke dalam laci di mana Madi ambil tadi.
“Abang senang la cakap lepak, lepak… tengok
rumah ni pun dah rasa seram.”
“Tahu pulak kau nak rasa seram.”
“Ye la, tengok abang tadi duk pegang cincin
tu tadi siap cium-cium bagai.” Katanya. Aih! Bukan dia ke yang aku tengok duk cium cincin? Pelik aku
rasa. Padahal aku yang minta tengok cincin daripada Madi, kemudian dia minta
balik. Siap cerlung biji mata lagi macam nak telan aku. Ah! Peduli la. Yang
penting aku nak lepak sini hari ini menikmati suasana baru di sini.
“Bang, tengah hari nanti kita nak makan apa?”
Madi dah gosok-gosok perut. Lapar lagi la tu. Dasar kuat makan!
“Tak apalah, kita tahanlah sampai petang.”
“Senangnya abang cakap.” Balas Madi sambil
melangkah keluar dari kamar tu. Aku pulak tertoleh pada laci, rasa macam nak
ambil semula je cincin tu. Geram pulak aku
tengok. Aku jengul kepala tengok Madi, dia siap keluar rumah lagi pergi
ke beranda sambil hentak-hentak kaki. Merajuk la tu.
“Madi… abang nak try pakai cincin ni boleh…?”
Saja aku mengusik dia. Sebab tadi dia macam nak sangat cincin tu.
Usikan aku itu tak berbalas. Suaranya tak
kedengaran. Barangkali merajuk dengan aku agaknya. Madi ni memang la… tak boleh
nak bergurau sikit, pasti ada sahaja helah nak buat. Pernah hari tu merajuk,
beberapa hari tak bercakap. Kalah main PS4 dengan aku aje pun. Katanya aku kena
buat-buat kalah, tapi mana boleh… setiap perlawanan kena main betul-betul. Kalah
atau menang itu adatlah. Kata juara…
Lagi sekali aku panggil, tiada kedengaran pun
suara Madi menyahut. Mana pulak dia pergi ni? “Madi!” Aku panggil kuat-kuat.
Aik? Hati aku dah mula risau. Rasa tidak tenteram. Debaran kian terasa bukan
kerana tak pernah berhadapan dengan tingkah laku dia tu, cuma tak kena dengan
tempat. Sini kampung, tambah lagi ini rumah Nek Mah.
Bila tiada sahutan, maka aku rasa tak sedap
hati. Berdebar-debar rasanya. Desiran angin yang manerobos masuk dari kekisi
atap membuatkan jantung aku berdegup kecang. Ia seperti bersiul-siul. Tiba-tiba
langkah aku seperti diekori sahaja. Aduh, apakah ini perasaan aku cuma? Aku tak
pasti tetapi yang aku rasa ketika ini adalah sangat tidak wajar.
Aku menoleh ke kanan dan ke kiri, kenapa
kebas semacam sahaja seluruh tubuh aku ni? Nak bergerak pun rasa berat
seolah-olah aku dipeluk. Ya Allah… kecut rasa kaki aku ni. Meremang rasanya.
Perasaanku ini berbaur. Janganlah ada apa-apa yang berlaku kepada aku dan Madi.
Aku datang ke rumah ini hanya untuk mengetahui sesuatu yang aku ingin tahu.
~Bersambung...
Post a Comment