Bab 1
KERINGAT terbit di dahinya. Ke kanan dan
ke kiri dia menoleh. Matanya masih terpejam rapat. Suhu badannya pula naik
mendadak. Keadaannya seperti meracau-racau.
Tidak semena-mena dia terjaga
sambil menjerit, "Jangan!!!" Mendengar suaranya kuat, Mak Leha cepat-cepat
melangkah laju menuju ke kamarnya. Segera pintu dibuka.
“Sofia!" Mak Leha segera
mendakap anaknya. Sofia membalas pelukan. "Pia mimpi buruk lagi ke?” Soal
Mak Leha.
“Ya mak.” Setiap malam Sofia
sering diganggu mimpi. Dia kian dihambat ketakutan. Malamnya terigau-igau.
Kadang dia bimbang hendak lelapkan mata. Bayangan mengerikan selalu datang.
“Kalau Pia berterusan macam ni,
mak risau Pia.” Luah Mak Leha sambil mengusap ubun-ubun kepala Sofia. Sejak
kebelakangan ini, Sofia selalu meracau. Dia tak tahu apa yang sebenarnya telah
berlaku kepada anaknya.
Sejak kematian suaminya tiga
bulan lalu, keadaan Sofia banyak berubah. Sering menyendiri dan langsung tidak
mahu berhubung dengan sesiapa.
“Saya takut mak, saya takut.”
Sofia menangis. Dia sudah tidak tahan lagi dengan semua ini.
“Sabar Pia. Nanti mak tolong
ikhtiar berubat.”
“Saya tak sakit mak. Saya tak
sakit. Saya cuma susah nak tidur.” Katanya. Sofia ada beritahu ibunya bahawa
dia selalu termimpikan seorang lelaki misteri berkelubung. Wajah lelaki itu
tidak jelas.
“Mak faham.” Mak Leha
menenteramkan Sofia agar jiwa anaknya itu tidak bergelora. Lagipun hari sudah
jauh malam. Dia temankan anaknya di kamar.
***
AWAL pagi seorang kawan datang.
Kehadiran itu hanya ingin melawat dan bertanya khabar. Sudah lama tidak bertemu
Sofia. Namun kunjungannya hampa. Sofia tidak mahu keluar dari kamar.
“Mak cik dah pujuk dia tapi dia
tak nak jumpa siapa-siapa.” Mak Leha harap Aisyah tidak berkecil hati.
“Tak apalah kalau macam tu mak
cik, tolong sampaikan surat ni pada dia.” Aisyah sudah menjangkakan hal itu.
Sudah banyak kali Aisyah hubungi melalui telefon tapi tak dapat. Sofia sengaja
menutup telefon.
“Baiklah.” Mak Leha mengambil
sepucuk surat itu dari tangan Aisyah.
Aisyah mengorak langkah keluar
dari rumah. Ketika kakinya hendak mencapai sepatu, tiba-tiba dia merasakan ada
sesuatu yang melanggar bahunya. Dia pun
menoleh ke dalam rumah. Hanya Mak Leha yang tercegat di belakang mengulum
senyum tawar.
Perasaan aku sahaja kut, Aisyah
cuba melupakan sahaja. Dia anggap itu cuma mainan perasaan. Dia mengorak
langkah ke arah kereta yang diparkir.
“Dik.” Aisyah terdengar suara
orang memanggilnya. Dia menoleh dan nampak seorang perempuan depan pintu pagar
bertentangan dengan rumah Mak Leha. Jiran Sofia. Dia pun pergi mendekatinya.
“Ya kak ada apa?” Kerutan pada
dahi Aisyah terbentuk sebaik sahaja memandang kelibat wanita yang memanggilnya
itu.
“Adik ni kawan anak rumah tu ya?”
“Ya saya. Kenapa?” Soal Aisyah
tapi wajah kakak tu nampak cuak.
"Dik... Akak ni bukan nak menyibuk,
tapi akak rasa ada suatu yang tak kena." Beritahunya pada Aisyah dan
membuatkan gadis itu berasa sedikit terkejut. Apa la yang tak kena tu agaknya?
Dia bingung sendiri.
“Maksud akak?”
“Akak ni bukan nak buat cerita,
tapi tengah malam tadi masa akak dan suami balik lewat, kami ternampak dia menari-nari
depan pagar rumah dia tu kemudian akak dengar dia cakap sorang-sorang.” Aisyah
ketap bibir mendengar apa yang kakak tu beritahu.
“Tak apalah kak, saya dah lambat
ni.” Aisyah mengelak dari lama-lama berborak di situ. Banyak urusan lain yang
dia nak kena selesaikan. Bukan dia tak risau, bukan dia tak mahu ambil peduli,
tapi memang dia tengah bingung sekarang ni. Ditambah pulak dengan apa yang
kakak ni kasi tahu. Semakin kurang sedap hatinya.
“Hati-hati, dik.” Pesan kakak tu.
Aisyah rasa tak sedap hati tapi dia tak mahu memberatkan kepalanya mendengar
cerita karut. Dia anggap Sofia cuma kemurungan setelah pemergian ayahnya tiga
bulan lalu.
***
SURAT yang dititipkan Aisyah ada di
atas meja solek. Dia bangun dari birai katil dan mengambilnya lalu kembali
duduk. Sampul dibuka lalu dibaca isinya.
…Sofia,
pertama sekali aku mohon maaf sekiranya selama ini aku ada berbuat salah.
Sejujurnya aku sayangkan persahabatan kita, cuma setiap kali aku nak jumpa
dengan kau, mesti kau mengelak.
Aku tak tahu
apa yang dah berlaku kepada kau. Sahabat kita yang lain juga hairan, Zana, Yati
dan Tikah bingung memikirkannya. Mereka datang cari kau, tapi kau tak nak jumpa
mereka.
Kalau kau
ada apa-apa masalah, tolonglah beritahu kami. Mana tahu kami boleh bantu. Kita
kan sahabat selamanya.
Aisyah…
Tak mungkin kamu semua dapat
bantu aku... Kerana aku sayangkan persahabatan kitalah maka aku tak mahu
bertemu kalian... bisik hatinya sambil menitiskan air mata.
Pintu bilik diketuk. Mak Leha
masuk bawa dulang berisi makanan di atasnya.
“Meh makan Pia.”
Sofia menyeka air matanya. Dia
tak mahu ibunya melihat dia terus menangis.
“Saya tak ada selera nak makan
mak.” Sofia tunduk. Wajahnya pucat lesu. Mak Leha pula melabuhkan punggung di
sisi Sofia usai dulang diletakkan atas rak.
“Jangan macam tu Pia... Pia kena
makan, kalau tak nanti perut masuk angin.” Mak Leha risau, Sofia kian susut
tubuhnya. Mata pun dah cengkung.
“Mak,”
“Ya Pia.”
Sofia nak beritahu sesuatu kepada
ibunya. Cuma dia bimbang ibunya bertambah risau.
“Malam tadi saya mimpi ada jiran
kita mati.” Mak Leha terkejut mendengarnya.
“Mainan tidur tu Pia. Jangan
dilayan sangat. Pia, mak nak bawa kamu pergi klinik. Badan kamu ni masih panas.”
“Saya tak sakit mak, berapa kali
saya nak beritahu mak.”
“Yelah, tapi kamu mesti janji
dengan mak yang kamu akan makan bubur tu.” Mak Leha pun bangun.
Tiba-tiba kedengaran siren
ambulans. Mak Leha nak keluar meninjau. “Siapa pulak yang nak beranak ni?”
Fikir Mak Leha. Sofia menurut langkah.
Terkejut Mak Leha, ramai orang
berkumpul di hadapan rumah tu. Rata-rata adalah jiran tetangga rumah teres,
namun ada juga yang kebetulan melalui kawasan tu, berhenti untuk tengok.
Oleh kerana rasa ingin tahu mula
tebal, dia pergi dekat dan bertanya pada salah seorang jirannya.
“Apa yang berlaku Ros?”
“Senah kena tikam Leha. Suaminya
pulak gantungkan diri.”
“Hah?? Anak-anak dia macam mana?”
Mak Leha tersentak. Entah apalah nasib kedua anak mereka yang masih kecil?
Berdetak kencang datuk Mak Leha.
“Mati kena tikam. Senah tadi
hidup lagi, tak tahulah apa jadi, kritikal. Ada dalam ambulans tu.” Beritahu
Ros. “Takutnya aku Leha.” Tokoknya lagi.
Ya Allah... Mak Leha urut dada.
Berderau darahnya. Terasa jadi kecil kepalanya. Dia kembali semula ke rumah dan
menarik tangan anaknya yang tercegat depan pintu.
“Masuk Pia.” Mak Leha tutup pintu
rumah.
“Kenapa mak?”
“Keluarga Senah mati. Laki dia
pulak bunuh diri. Dua orang anaknya pun dah mati kena tikam. Cuma Senah masih
hidup lagi tapi keadaan kritikal.” Beritahu Mak Leha tak sedap hati.
Sofia berubah riak. Dahinya
berkerut. Terbayang-bayang apa yang berlaku di dalam mimpinya malam tadi. Dia
mimpi, dua kanak-kanak mati ditikam, si ibu turut ditikam demi menyelamatkan diri
dari amukan si ayah.
Sofia cuba halang, tetapi malangnya
lelaki tua berkelubung itu telah menyekat kemaraannya. Kemudian dia lihat
tusukan singgah ke perut si ibu. Dia hanya nampak kelibat samar-samar. Lantas
si ayah itu menggantungkan diri.
“Pia.” Sofia tersentak. Dia
terimbas tadi. “Kenapa?” Soal Mak Leha sebab dia perhatikan Sofia termenung
sejenak seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Mak Leha ingin tahu apa yang
berada di dalam kepala anaknya tu. Namun Sofia enggan menyatakan hakikat
sebenar-benarnya.
“Tak ada apa-apa mak.” Balasnya
cuba berselindung dari pengetahuan ibunya. Kalau boleh dia nak menceritakan
segala-galanya tetapi buat masa sekarang, belum tiba waktunya. Mungkin bila
tiba masanya, keadaan akan berubah.
~Bersambung...
Post a Comment