Bab 1
SUDAH lama tak balik kampung, tapi kali ini kata
ayah balik kampung ibu. Aku tak pernah tahu tentang kampung ibu sebabnya ibu
pernah cakap yang dia tak ada adik beradik. Tapi kali ini ibu bercakap benar
yang selama ini dia terpaksa berbohong demi kebaikan kami semua. Aku pun tak
tahu kenapa ibu buat macam tu.
Dalam perjalanan, ibu banyak diam tak banyak
cakap. Katanya hanya nak melawat kampung halaman. Rumah yang lama ditinggalkan.
Rumah Nek Mah. Aku tanya siapa Nek Mah, katanya nenek aku. Adik-adik aku pula,
masing-masing sibuk main gadget.
Setibanya di kampung yang jauh, aku pun
melepaskan nafas lega pada petang itu. Perjalanan yang memakan masa lima jam
dengan kereta. Memang jenuh juga tapi tak apa, layan sahaja. Aku lihat sebuah
rumah usang yang sekelilingnya agak bersemak, cuma ibu cakap, ada orang uruskan
rumah ni. Tak pula ibu beritahu siapa.
Aku keluar dari perut kereta manakala ibu dan
ayah pergi menemui seseorang, adik-adik ikut sekali. Aku pulak buat hal
sendiri. Aku mengheret langkah ke belakang rumah, aku nampak ada perigi lama
yang agak tertutup dengan papan-papan buruk. Aku mendekatinya lalu mengintai,
perigi itu tidak ada air.
Lama aku mengamatinya, dan tidak semena-mena
aku ternampak bebola merah kecil dua biji seperti mata dari bawah tu. Suasana
gelap. Rasa lain macam sahaja. Selang beberapa ketika aku dengar suara
perempuan menangis. Meremang bulu roma. Perasaan aku je kut...
Aku pun berganjak beberapa langkah. Tak
sanggup nak lihat lama-lama. Seterusnya aku menala langkah ke hadapan rumah
semula dan aku dapati ada seorang lelaki tersenyum kepadaku. Dia sedang bersila
di beranda. Dia perkenalkan dirinya sebagai Pak Lang Muda...
“Dah besar anak saudara pak lang rupanya...”
Tegurnya. Oh, jadi inilah penjaga rumah ni, pak cik aku sendiri rupanya. Segak
orangnya. Alang-alang dia dah muncul, aku pun bertanya tentang perigi tu.
Menurut Pak Lang Muda, perigi yang ada kat
belakang rumah ni adalah sebuah perigi lama. Perigi buta. Dulu masa muda-muda
Pak Lang Muda selalu mengintai Nek Mah mandikan anak dara. Kira nakal juga Pak
Lang Muda zaman budak-budak ya.
Tapi Pak Lang Muda cakap, tak ada maksud lain
kecuali nak tahu, kenapa mandi tengah-tengah malam. Itu sahaja. Oleh kerana
perasaan ingin tahu mendalam, maka dia ambil keputusan untuk melihat sendiri
apa yang Nek Mah buat. Nek Mah tu, nenek aku la. Ibu kepada Pak Lang Muda.
“Ada satu malam tu seorang perempuan datang
jumpa Nek Mah, katanya nak cantik.” Ucap Pak Lang Muda. Aku dengar dengan
teliti. “Nek Mah ni mengubat orang sakit, tapi pak lang tak tahu pulak yang Nek
Mah kamu boleh buat orang tak cantik boleh jadi cantik.” Sambungnya lagi.
“Terus, apa yang Nek Mah buat?” Tanyaku
sambil membetulkan duduk bersila ku di atas beranda. Pak Lang Muda pula
membakar rokoknya. Dihembus asap, kepul-kepul keluar dari hidung dan mulutnya.
“Dia pakaikan perempuan tu susuk. Tapi Nek
Mah dah pesan, jangan langgar pantang.” Aku pun bertanya apa pantangnya lalu
pak lang cakap, jangan tengok cermin selama empat puluh empat hari, itu dari
apa yang dia dengar dari mulut Nek Mah sendiri.
Perempuan tu dikatakan cantik sangat.
Malangnya kerana tak tahan dengan godaan, belum sampai masanya, perempuan tu
tengok juga cermin walaupun belum tiba masanya, beritahu pak lang.
“Wajahnya jadi buruk balik ke pak lang?”
“Ya, lebih buruk dari sebelumnya. Kemudian
dia datang cari Nek Mah merayu supaya nak cantik semula, tapi Nek Mah tak dapat
tolong dah. Perempuan tu ugut, dia nak bunuh Nek Mah kamu.”
Terkejut aku dengar, sampai macam tu sekali
ketaksuban orang nak cantik.
Nek Mah marah, sebab dia tak dapat lagi nak
tolong, kecuali jika perempuan tu minum darah sembilan gadis sunti. Itulah
syaratnya. Perempuan tu pun sanggup berbuat apa sahaja demi nak kembali cantik.
Nek Mah tak sangka, yang perempuan tu bunuh
mak ngah kamu dan minum darahnya. Nek Mah balas dendam, campak perempuan tu
dalam perigi dan ditutup rapat, beritahu pak lang lagi. Aku pulak semakin
teruja nak tahu.
Semenjak hari itu, roh Salina mengganggu
orang kampung termasuklah mengganggu Nek Mah dan kami sekeluarga, katanya lagi.
Tak sangka aku Nek Mah aku jadi pembunuh,
tapi demi balas dendam, sanggup buat apa sahaja mempertahankan haknya.
“Apa yang berlaku selepas tu, pak lang?”
“Nek Mah meninggal, dia wariskan saka pada
pak lang sebab saudara pak lang yang lain tak nak terima. Pak lang tak sanggup
lihat Nek Mah kamu terseksa. Dia nampak bernyawa tapi pada hakikatnya dia dah
lama mati cuma jasadnya saja ditumpang saka.”
Merinding bulu roma aku mendengarnya. Orang
dulu-dulu percaya sangat dengan benda-benda ni semua. Nak cantik punya pasal
sampai nak pakai susuk. Nek Mah pun satu, bela saka buat apa? Tapi tu la, aku
tahu cakap je, mana faham apa-apa keadaan orang dulu tu macam mana.
Pak Lang Muda sambung cucuh rokok sebatang
lagi. Dia senyum sambil memandang aku. Nampak selesa dia berbual dengan aku
sambil bersandar di tiang. Maklumlah, tak pernah jumpa.
“Sekarang ni roh Salina kacau orang kampung
lagi tak pak lang?”
“Tak dah... ada orang dah jumpa rangkanya
dalam perigi tu.”
“Selama ni pak lang tak tahu ke ada mayat
dalam tu?”
“Nek Mah kamu tak benarkan pak lang beritahu
sesiapa. Jadi pak lang rahsiakan.” Katanya.
“Mael...” Tiba-tiba nama aku dipanggil ibu. Aku
pelik melihat keadaan ibu yang basah lencun. Mandi hujan ke? Hari bukan hujan pun.
“Ada apa bu?” Aku menoleh pada ibu yang sudah
menunggu dekat kereta. Semua dah ada. Semua kebasahan.
“Kita nak pergi ziarah kubur Nek Mah dan pak
lang kamu.”
Ah?!! Aku tak tahu yang pak lang dah meninggal. Ibu tak cakap pun nak ziarah kubur. Jadi dengan siapa sebenarnya aku bercakap? Errrrr...!
~Bersambung...
Post a Comment