Bab 2
SENJA tadi mendebarkan aku. Sangat-sangat panik
dibuatnya. Gila tak, aku bercakap dengan siapa pun aku tak tahu. Katanya Pak
Lang Muda, pak cik aku. Haish! Ghaib tiba-tiba gitu, pakcik apa macam tu? Itu
hantu!
Nak tanya ibu, memang dituduhnya nanti aku ni
tak betul, siapa nak jawab? Aku juga yang susah. Tapi kedatangan aku ke kampung
boleh jadi tak diundang atau boleh juga dinantikan. Itulah yang aku rasa. Masa
di tanah perkuburan, ibu tunjuk kubur Nek Mah, dan tak jauh dari kubur itu,
kuburan Pak Lang Muda pula. Kemudian ibu tunjuk lagi kubur Mak Ngah Mona. Sebut
sahaja nama tu, aku pun jadi teringat Pak Lang Muda kata apa tentang Mak Ngah
Mona, mati kena bunuh, Salina minum darahnya.
Ada lagi satu kubur, Pak Long Anang. Habis
mati semua pakcik dan makcik aku. Kenapa? Sepupu sepapat aku yang lain pun aku
tak kenal dan tak tahu kat mana. Menurut ibu, mereka tak tinggal di kampung ini
lagi. Semua pindah. Aku langsung tak tahu keluarga besar ibu. Inilah kali
pertama, tu pun hanya melihat pusara sahaja. Sedih jugak la.
Kemudian, kisah ini diceritakan kepada aku
oleh ibu sebaik sahaja malam tiba, aku ingin tahu tentang latar belakang
keluarga Nek Mah. Keluarga sebelah ibu aku ni la. Sebabnya aku tak didedahkan
sama sekali. Semangat ingin tahu dan keterujaannya memang lain macam.
Menurut ibu, Nek Mah ada lima orang anak, Pak
Long Anang, Mak Ngah Mona, Mak Cik Nor (ibuku), Pak Lang Muda, dan Mak Usu Aya.
Aku tak pernah berjumpa mereka semua kecuali Pak Lang Muda yang aku dikejutkan
dengan bayangannya di beranda petang tadi.
Aku bertanya, apa yang berlaku pada Mak Ngah
Mona? Lantas ibu terkejut kerana aku tiba-tiba bertanya tentang hal tu. Dari
mana aku mendapat tahu? Sudah tentulah dari Pak Lang Muda yang beritahu. Dengan
dia aku berbual senja tadi. Meremang bulu roma aku bila terkenang balik.
“Kalau boleh ibu tak nak cakap pasal ni.” Ibu
seolah-olah mahu menyembunyikan kebenaran yang sedia aku ketahui. Aku dengan
Pak Lang Muda bercerita panjang soal hantu Kum-Kum. Mengenai Salina yang
memakai susuk dulu, mayatnya dibuang ke dalam perigi Nek Mah.
“Tapi ibu, saya cuma nak tahu je sebab petang
tadi saya...” Aku hentikan bicaraku. Aku khuatir ibu takkan percaya terhadap
apa yang aku katakan nanti.
Aku memandang wajah ayah yang hanya diam
sahaja. Adik-adik sudah nyenyak tidur dibuai mimpi. Kami menumpang bermalam di
rumah Mak Cik Peah kawan lama ibu. Aku yakin, ayah pun tahu kisah silam ibu.
Mereka pasti saling berkongsi. Cuma aku tidak diberitahu akan kebenarannya.
“Ibu ajak ke sini cuma nak ziarah pak lang
kamu dan tengok-tengokkan keadaan rumah tu. Ibu sedih sebab tak sempat jumpa
dia buat kali terakhir.” Ibuku berduka.
“Nor, jemputlah minum.” Mak Cik Peah muncul
bersama dulang berisi teko air. Keluar Pak Abu dari bilik terus ke beranda. Aku
sempat melihat Pak Abu melambai tangan memanggil ayahku. Maka dengan itu ayah
aku pergi kepadanya. Entah apa nak dibualkan pun aku tak tahu.
Rumah Mak Cik Peah ni rumah kampung, kalau
berjalan, bunyi derap kaki pada papan jelas kedengaran. Suasana kampung, siulan
cengkerik dan unggas pun tidak pernah sepi. Pengedaran udara juga segar
memadangkan ada kekisi pada bahagian tepi dinding dekat atap rumah.
Pendek kata, dingin. Tak macam kat bandar tu,
semuanya kena pakai penghawa dingin. Kalau tidak, malam suhu jadi panas.
Kawasan rumah Mak Cik Peah pun banyak pokok-pokok besar, sama macam rumah Nek
Mah. Pasti rumah di sana pun seronok didiami, tapi kenapa ibu tak mahu tinggal
di sana je? Bukan ke lagi bagus daripada menumpang rumah orang?
“Ye la bu. Bu... Kenapa kita tak tinggal
sahaja kat rumah Nek Mah?” Tanyaku. Mak Cik Peah yang baru melabuhkan punggung
terus berpandangan dengan ibuku. Seperti ada sesuatu yang mereka sembunyikan.
Aku curiga.
“Kau dah buat silap ni Sim, sepatutnya kau
jangan balik.” Tiba-tiba aku terdengar ucapan Pak Abu berbicara dengan ayahku
di luar. Tapi aku buat-buat tak tahu sahaja. Kata-kata tu sebenarnya buat aku
bertambah curiga.
“Ni Mael... Esok kita bertolak balik.”
“Kenapa cepat sangat bu? Saya baru nak
kenal-kenal kampung ni. Lagipun saya suka tempat ni.” Sungguh aku berasa damai
di sini kerana suasana ini tidak pernah aku nikmati. Ini kan kampung halaman
aku jugak.
Tapi, cara ibu seolah-olah tidak mahu lama di
sini. Aku jadi hairan. Apa salahnya tinggal di sini dalam beberapa hari.
Lagipun, kebetulan ni cuti semester. Adik-adik pun cuti sekolah. Tak ada alasan
lain untuk ibu mengelak.
“Mana adik-beradik ibu yang lain?”
Lalu ibu menjawab, pak long dah tak ada, mak
ngah pun dah tak ada, tinggal nak usu sahaja, tu pun tak mahu balik. Ada di
Kuching, Sarawak. Bila aku tanya kenapa tak nak balik, ibu balas tak tahu.
Hurmm... Adik beradik ibu ramai yang tak ada, cuma tinggal mak usu sahaja. Tak
sempat aku bermanja dengan mereka. Dari kecil aku tak pernah lihat wajah
mereka. Tapi...
“Sekejap.” Tidak semena-mena Mak Cik Peah
bangun. Dia pergi ke satu sudut terletaknya gobok, dicapai album gambar dan
diberikab padaku. “Gambar ahli keluarga ibu kamu ada dalam ni Mael...” Katanya.
“Kau simpan lagi, Peah?” Soal ibuku.
“Kenangan ni Nor oih...”
Lantas aku pun membelek lembaran demi
lembaran melihat foto-foto lama yang warnanya agak suram dan ada yang hitam
putih. Tidak seperti zaman sekarang. Setibanya, ada gambar rewang, gambar
seorang perempuan cantik. Aku bertanya, siapa dan ibu kata itulah Nek Mah.
Cantiknya nenek aku zaman muda, walaupun dalam hitam putih.
Kemudian barulah aku nampak gambar lima
beradik, disamping Nek Mah, termasuk tukang sibuk dalam tu. Itulah Mak Cik
Peah, jawabnya gelak-gelak. Bertocang. Satu persatu dikenalkan kepada aku.
Tapi kenapa mak tak simpan album gambar macam
ni juga? Sekurang-kurangnya dapat aku tengok. Tak apalah, semua ni boleh disalin
kalau aku nak.
Tidak sangka-sangka, aku terdengar suara
perempuan menangis... Sayup-sayup kedengaran... Aku tercari-cari arahnya. Ibu
tegur tapi aku bagi alasan dengar suara cicak.
Memang la tak logik alasan aku tu, tapi aku
tak nak mereka syak punca sebenar yang buat aku rasa tak nak balik cepat
sangat. Misteri Pak Lang Muda berbual dengan aku dekat beranda tu macam ada
maksud tertentu je. Macam mana aku boleh berborak dengan benda yang orang lain
tak nampak?
Harap-harap aku dapat temui jawapan sebenar di
sebalik misteri perigi lama Nek Mah tu. Cuma... kalau asyik diganggu suara
perempuan menangis, mana boleh tahan. Tak boleh tidur aku jadinya.
Post a Comment