Bab 3
SELEPAS bersarapan pagi yang disediakan oleh Mak Cik
Peah, adikku Ismadi atau aku panggil Madi je yang berusia sembilan tahun tu
telah memandang ke arah aku. Sejurus kemudian, dia pun datang kepadaku di mana
ketika itu aku telah pun berada di beranda rumah. Dia memberitahu bahawa malam
tadi dia bermimpi hal yang aneh, katanya di dalam mimpinya itu, dia telah didatangi
oleh seorang lelaki mengakui sebagai pak lang. Nah! Madi pun diusiknya. Aku
harap adik bongsku Iris baik-baik sahaja.
Perkara ni tak boleh dibiarkan, lalu aku pun
bisik dekat dia, "Kau nak tahu tak, pak lang tu sebenarnya hantu. Semalam
abang dah kena kacau kena dengan dia." Kataku, tapi dia pandang aku
selamba saja sambil kening terangkat. Tangan kanannya duk gosok lemak perut
bulat kekenyangan.
“Ye ke? Bukan ibu kata pak lang kita dah
arwah ke? Semalam pun kita dah pergi ziarah kuburnya.” Katanya.
Madi menyangkal apa yang aku katakan. Mungkin
dia tak kena depan-depan lagi kut, baru sahaja dalam mimpi. Itu biasa-biasa.
Cuba kalau kena macam aku semalam. Boleh jadi tak cukup tanah dia lari. Itu pun
kalau dia mampu berlari dengan saiz badan macam tu.
“Memang dah arwah tapi sekarang dah menjelma
jadi hantu. Itulah yang abang musykil ni. Semalam elok je dia borak-borak
dengan abang dekat beranda rumah Nek Mah tu.” Aku harap Madi percayalah cakap
aku ni.
“Abang ni jangan nak bagi takut Madi.” Wajah
Madi dah berubah. Sedikit demi sedikit aku buka kisah semalam agar Madi dapat
memahaminya.
“Betul Madi, kalau kau tak percaya kita pergi
rumah Nek Mah. Lagi pun rumahnya depan tu je pun. Jalan kaki pun boleh.” Jarak
di antara rumah Mak Cik Peah dengan rumah Nek Mah tak berapa jauh, aku kira
lebih kurang 500 meter sahaja. Dipisahkan pula dengan sebatang sungai. Maknanya
aku kena melalui jambatan.
“Tapi ibu dan ayah cakap kita nak kena balik
hari ni.” Madi menyampaikan alasan. Itu semua boleh dielakkan kalau mahu.
“Alah, ikut ajelah, lagipun kau tak nak ke
lepak dekat kampung ni, dapat mandi sungai ke, memancing ke. Seronok tahu.”
Sengaja aku mengumpan dia. Lagi-lagi boleh dapat kawan baru.
“Madi tak minat la semua tu... Main gaming
lagi bagus..” Hidungnya terangkat.
“Tu la kau, patutlah berlemak sana sini,
exercise sikit pun tak mahu. Alaa ikut la abang kejap... Dekat sana ada game
yang lagi best tahu yang kau tak pernah main pun dalam apa-apa permainan video
tu.” Gigih aku memujuk, dengan harapan Madi akur.
“Ermmm... Nanti kalau ibu dan ayah cari,
bagaimana?”
“Baguslah kalau cari, tak jadilah kita balik
hari ni.” Balasku senyum.
“Oooo... Kira abang saja nak buat alasan la
ni?” Bijak Madi meneka. Memang itu maksud aku. Tapi aku bagi dia syarat. Nasib
baik dia tak membantah.
Aku cuma minta dia matikan telefon. Aku pun
sama. Kemudian aku turun dari beranda rumah tanpa pengetahuan ibu dan ayah. Aku
lakukan semua tu demi rasa ingin tahu yang membuak-buak
Maka dengan senang hati aku berjalan
senyap-senyap dengan Madi. Sambil-sambil tu berhati-hati agar tak terlihat oleh
ibu. Kalau tidak, nanti mereka menghalang pergerakan kami. Moga-moga segalanya
berjalan dengan lancar. Maafkan Mael ya bu…
“Mael?! Madi?!” Tiba-tiba dengar suara ibu
memanggil. Cepat-cepat kami menyorok belakang pokok. “Mana pula diorang ni?”
Aku dengar ibu mengomel. Sebaik sahaja ibu masuk semula ke dalam rumah,
cepat-cepat kami pun pergi. Tak mahu pemergian kami tanpa pesan itu disedari.
Aku ni pun satu hal, boleh pula terfikir nak
buat begitu. Tapi dah memang ini sahaja jalan yang ada. Puas aku pujuk ibu
tinggal di sini beberapa hari tapi tak nak. Tetap juga nak balik. Bagi la peluang
kami merasai keseronokan berada di kampung.
Ketika menelusuri jalan itu, entah kenapa aku
rasa seperti diekori. Sekejap-sekejap aku aku rasa nak toleh ke belakang. Madi
pun sedar akan tingkah laku aku tu. Sempat bertanya kenapa, aku kata tak ada
apa-apa. Padahal aku dah mula rasa tak sedap hati. Tiba-tiba terdengar bunyi
ranting patah seperti dipijak sesuatu.
“Kau dengar tak apa yang abang dengar?” Bunyi
itu dari arah semak tepi jalan yang kami lalui.
“Tak ada pula bang, kenapa?”
“Tak apalah.”
“Abang ni saja la tu nak buat suspen
pagi-pagi hari.” Madi berkerut dahi sambil menyenggol pinggangku. Otak aku ni
tak lain dan tak bukan asyik fikiran hal tu sahaja. Memang tak lari langsung.
Sudahlah aku ni tak cukup tidur, ditambah lagi perasaan yang pelik-pelik. Macam
tu la jadinya orang yang dihujani beribu pertanyaan dibenak.
“Cepat la jalan, lembab la…”
“Dia yang laju sangat, cakap kita lembab
pulak.” Madi muncungkan mulutnya. Dia rasa penat nak berjalan. Maklumlah
lebihan lemak dan rasa cepat letih. Tapi kalau bab main permainan di gadget,
memang nombor satu. Tak ingat dunia.
Tanpa disangka-sangka, kami berdua tersentak.
Kus semangat! Babi melintas macam tu sahaja. Nasib baik tak langgar kami. Madi
dah terkejut beruk. Siap peluk aku lagi. “Babi!!!” Katanya.
“Diamlah Madi. Abang pun terperanjat jugak.
Dah tahu ni kawasan semak macam ni, kau bising-bising buat apa.” Maka aku
merasakan bunyi ranting patah tu berpunca dari binatang tu. Siang-siang hari
pun boleh wujud. Tapi aku lupa, kalau ada pun makhluk tak terlihat, dia boleh
menjelma dalam pelbagai bentuk termasuklah ke rupa haiwan tadi.
Besar binatang tu tadi, tinggi. Siap ada taring
tu. Kalau disondol kami, memang nahas. Tak cukup tanah nak lari. Tapi kami
bernasib baik. Ia cuma melintas sahaja di hadapan kami.
Madi gosok-gosok dada. Dia macam nak berpatah
balik. “Kau nak ke mana?” Soalku sebab dia dah cemas.
“Madi nak pergi kat ibu.”
“Kau berani ke nak balik sesorang? Kan dia
kejar kau macam mana?” Usik aku menakut-takutkan dia supaya Madi batalkan
hasrat.
“Gila la kau bang.” Wajah cuak Madi ketara.
Aku pun sebenarnya bukan berani sangat, sebab
tu aku ajak Madi temankan aku. Kalau tidak, aku pun tak nak pergi rumah Nek Mah
sorang-sorang selepas apa yang berlaku semalam.
Setelah penat kami berjalan, kami pun tiba di
rumah Nek Mah. Kali ini lutut aku bergetar. Aku nampak Pak Lang Muda senyum manis
kepada aku. Seperti biasa, dia tunggu di beranda rumah sambil melambai tangan.
Maaa…maadii… panggil aku sambil toleh Madi di sebelah.
“Tu tu pak lang...” Sebut aku dengan nafas
yang sudah tidak teratur. Madi pun bertanya di mana, lantas aku menjawab “Tu…”
Aku tunjuk dengan muncung mulutku tapi… Eh? Aku sendiri terkejut. Sudah tak
ada. Ghaib sekelip mata tanpa dikesan. Semua itu berlalu begitu sahaja namun
perasaan aku tak terhapus. Perasaan cuak semakin menjadi-jadi. Bahkan bukan itu
sahaja, ia juga menjadi tanda tanya. Di mana Pak Lang Muda pergi?
“Merepek la.” Madi pula perli aku.
Jangan-jangan aku seorang sahaja yang nampak? Ke gitu? Memang sah kut, aku
sahaja yang nampak. Pelik!
“Abang tak merepeklah Madi. Betul tadi abang
nampak pak lang. Kalau kau tak percaya, jom kita pergi dekat.” Ajak aku dan
madi menurut. Dia pun aku rasa berdebar-debar juga. Lihat muka dia pun aku dah
boleh agak.
Tiba-tiba… aku terasa bahu aku dicuit dari
belakang. Laju aku menoleh. Tiada sesiapa pun. Alaa… main cuit-cuit pulak,
desis hati aku. Darah aku berderau tak reda lagi. Sekejap-sekejap aku toleh
Madi silih berganti belakang dan dia. Takkan Madi nak cuit aku pulak? Mustahil,
dia ada sebelah kiri aku. Tempat kena cuit, bahu kanan. Tak sampai tangan dia
nak cuit aku. Lagipun dia tak berganjak dari sisi aku pun.
Post a Comment